Pages

Tuesday, 16 October 2012

Permulaan Wahyu



Saidatina Aisyah r.a berkata: "Wahyu Pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dengan mimpi yang baik di dalam tidurnya, Baginda s.a.w. melihat (sesuatu) di dalam mimpinya seperti cahaya fajar sebelum terbit matahari dan setelah itu Baginda s.a.w.. suka mengasingkan diri. Baginda s.a.w. mengasingkan diri dan beribadat di Gua Hira' selama beberapa malam sebelum pulang kepada keluarganya untuk mengambil bekalan. Apabila bekalan habis, Baginda s.a.w. pulang menemui Khadijah untuk mengambilnya lagi, sehinggalah malaikat datang ketika Baginda s.a.w. berada di Gua Hira' tersebut lalu berkata: "Bacalah". Baginda s.a.w. menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Kata Baginda s.a.w. lagi: "Malaikat memelukku sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: "Bacalah." Aku menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Malaikat memelukku buat kali yang kedua sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: "Bacalah." Aku menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Dia memelukku buat kali yang ketiga kemudian melepaskanku lalu berkata:
Yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya).
Rasulullah s.a.w pulang dengan hati yang gementar, lalu terus masuk menemui Khadijah binti Khuwailid (isteri Baginda s.a.w) dengan berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah terus menyelimutinya sehingga hilang perasaan gementar. Baginda s.a.w. menceritakan kepada Khadijah peristiwa yang berlaku dengan katanya: "Sesungguhnya aku merasa takut terhadap apa yang menimpa diriku." Khadijah berkata: "Tidak sama sekali. Demi Allah! Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menyusahkanmu selama-lamanya, kerana kamu telah menghubungkan silaturahim, menolong orang ramai, memberi belanja kepada orang yang harta, memuliakan tetamu dan menyebelahi orang yang benar." Setelah itu Khadijah membawa Rasulullah s.a.w menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah yang beragama Nasrani pada masa jahiliah. Beliau menulis kitab ke dalam bahasa Ibrani dan telah menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau seorang yang telah tua lagi buta. Khadijah berkata kepadanya: "Wahai sepupuku! Dengarlah apa yang akan diperkatakan oleh anak saudara kamu ini (Rasulullah s.a.w). Lalu Waraqah berkata kepada Baginda s.a.w.: "Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah kamu lihat." Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa yang telah berlaku ke atas diri Baginda s.a.w.. Waraqah berkata kepada Baginda s.a.w.: "Itulah Malaikat yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa, mudah-mudahan aku masih hidup ketika kamu berada dalam keadaan sedih kerana dihalau oleh kaum kamu" Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: "Apakah mereka akan menghalau aku?" Beliau menjawab: "Ya. Setiap lelaki yang didatangkannya (Wahyu) akan dimusuhi, sekiranya aku mampu untuk menolong kamu pada hari itu nescaya aku akan menolong kamu secara bersungguh-sungguh." Tetapi Waraqah bin Naufal tidak sempat bersama kerana beliau meninggal dunia ketika Wahyu diberhentikan buat sementara waktu.

No comments:

Post a Comment