Pages

Sunday, 14 October 2012

Sukan 2012 : Kelantan Tamatkan Misi 33 Selangor

Pemain Selangor, Mohd. Bunyamin Umar (kanan) diasak Mohamed Ghaddar pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.
SHAH ALAM – Dua gol pada enam minit terakhir mengesahkan Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 apabila membenam Selangor 2-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ini bermakna Kelantan mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-0 dan akan berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Oktober, juga di venue yang sama di Stadium Shah Alam.
Di hadapan 75,000 penonton, Mohamed Ghaddar menjadi pemusnah sisa harapan Selangor apabila meletakan pelawat mendahului pada minit ke-85.
Harapan Selangor untuk bangkit terus lebur apabila pemain gantian, Mohd. Badhri Radzi memastikan malam penuh gemilang buat Kelantan dengan jaringan kedua pada minit terakhir permainan.
Nasib Selangor yang terus kempunan untuk merealisasikan Misi 33 Piala Malaysia bertambah malang apabila menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila penyerang import, Bosko Balaban dilayangkan kad merah pada minit ke-87 apabila mengasari Obinna Nwaneri.
Kejayaan itu membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun selepas dikecewakan Negeri Sembilan pada peringkat separuh akhir tahun lalu.
Kelantan berpeluang mencatat kejuaraan treble selepas memenangi Liga Super dan Piala FA musim ini.
Pada perlawanan semalam, penguasaan seimbang dipamerkan pada separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan cuba mendapatkan gol awal, namun dinafikan aksi tangkas penjaga gol masing-masing.
Penyerang veteran Selangor, Mohd. Amri Yahyah berpeluang meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-23 apabila bola percubaannya gagal ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Namun Solihin Kandasian lambat menerkam bola yang terlepas sebaliknya dia dipersalahkan kerana berlaga dengan Khairul Fahmi.
Norazlan Razali yang menyelamatkan tandukan Mohammad Ghaddar pada minit ke-12 sekali lagi menghampakan penyerang Lebanon itu apabila menepis keluar sepakan separuh voli pada minit ke-38.
Pada minit ke-44, giliran Khairul Fahmi atau Apek memperagakan kehebatannya apabila bijak menampan keluar rembatan padu Bosko Balaban di hadapan pintu gol.
Indra Putra Mahayuddin melepaskan peluang terbaik untuk meledak gol sebelum rehat apabila menyepak tinggi melepasi palang gol Selangor, walaupun tidak dicabar di dalam kawasan penalti.
Babak 45 minit kedua menyaksikan Kelantan lebih banyak mengasak ke kubu Selangor dan akhirnya jaringan yang dicari menjelma pada minit ke-85 melalui gerakan solo Ghaddar.
Biarpun mempunyai ruang melakukan hantaran rakan sepasukan, Ghaddar memilih melakukan gerakan bersendirian, sehingga pertahanan Selangor teragak-agak mengasak pemain itu sebelum dia membuat sepakan lambung menarik mengatasi Norazlan.
Gol tersebut sudah cukup membunuh semangat Selangor yang ketika itu memerlukan tiga gol jika mahu menyingkirkan Kelantan.
Badhri atau Piya menutup terus hajat anak-anak buah Irfan Bakti dengan menjaringkan gol kedua melalui sepakan percuma dari sebelah kiri gawang pada masa kecederaan.

No comments:

Post a Comment