Politeknik
Malaysia mula melebarkan program sukarelawan ke peringkat antarabangsa
dengan menganjurkan program “winning heart and mind” ke kemboja. Seramai
30 sukarelawan politeknik terlatih telah dipilih untuk hala tuju
Transformasi Politeknik yang bermatlamat untuk membina upaya baharu
politeknik bagi membangunkan sumber manusia negara untuk memenuhi
keperluan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada upaya
inovasi dan kreativiti. Kejayaan penganjuran program ini merupakan
salah satu pencapaian besar kepada KPI Jabatan Pengajian Politeknik
dalam menganjurkan program di peringkat antarabangsa. Yayasan Briged
Sukarelawan Politeknik telah diamanahkan untuk melaksanakan Program
Yayasan Sukarelawan Antarabangsa 2011 di Kampung Croi Menteri Kemboja.
Program yang telah bermula pada 4 dan 5 hb Disember 2011 bagi
memantapkan pasukan sukarelawan dengan mengadakan Bengkel dan Taklimat
Pentadbiran Program di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah (PSA) serta
Majlis Makan Malam dan Pelancaran Program telah disempurnakan oleh YB
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Pasukan Sukarelawan telah bertolak ke
Kemboja pada 6 hingga 10 hb Disember 2011 seramai 30 orang ahli yang
terdiri daripada Politeknik Kota Bharu (PKB) selaku Penganjur Utama,
Politeknik Johor Bharu (PJB), Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah (PSA),
Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Politeknik Sultan
Haji Ahmad Shah (POLISAS) serta Hospital Universiti Sains Malaysia
Kubang Kerian (HUSM).
Sehubungan dengan perkembangan sahsiah pelajar maka Program CSR Politeknik di bawah Program Sukarelawan Antarabangsa 2011 yang bertemakan Yes Politeknik telah
dianjurkan oleh Politeknik Kota Bharu dengan kerjasama Jabatan
Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Alat penapis yang dijemakan sebagai “1 Water for Life”
dapat dimanfaatkan oleh hampir 6000 penduduk sekitar yang menggunakan
sumber bekalan air daripada Sungai Mekong sejak sekian lama. Sebanyak 3
set penapis air telah berjaya dibina dengan semangat kerja berpasukan.
Projek ini mengambil masa selama 3 hari untuk disiapkan bagi memastikan
kualiti produk ini berkeadaan baik dan tahan lama. Wakil penduduk telah
diberi penerangan khusus untuk penjagaan sistem agar ianya dapat
dimanfaatkan secara berterusan. Komuniti setempat menyambut baik hasil
usaha ini kerana ini ibarat durian runtuh setelah hasil usaha
sukarelawan membuahkan hasil di mana penduduk tidak perlu lagi
berulang-alik sejauh 10 km untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk
kegunaan harian mereka. Selain daripada itu, masalah penyakit kulit yang
berpunca daripada air tercemar juga dapat dikurangkan dengan
terhasilnya produk 1 water for life ini. Pakar perubatan daripada HUSM
juga telah mengesahkan bahawa produk ini bebas daripada bahan kimia
kerana ianya menggunakan bahan semulajadi yang telah dibersihkan dan
mampu bertahan lama.
Pasukan daripada Hospital Universiti
Sains Malaysia Kubang Kerian turut sama menyumbangkan kepakaran dan
khidmat sosial (CSR) dengan mengadakan aktiviti pemeriksaan serta
ceramah kesihatan yang dibantu oleh sukarewan POLIMAS kepada penduduk
setelah dilanda banjir. Kebanyakan penyakit yang dialami oleh penduduk
sekitar adalah berpunca daripada masalah pencemaran udara dan bekalan
air bersih. Bagi mengurangkan masalah tersebut, penduduk telah
dibekalkan dengan topeng muka serta dinasihatkan agar menutup hidung
ketika berada diluar rumah.
Di samping itu juga, para sukarelawan
telah mendekati pelajar serta komuniti dengan mengadakan kempen
kebersihan, kempen pemakanan sihat serta demonstrasi pertolongan cemas
peringkat awalan ketika berlakunya bencana. Para sukarelawan dengan
bantuan jurubahasa tempatan telah berjaya mendekati pelajar memberi
nasihat dan tunjuk ajar amalan kebersihan diri sebelum makan seperti
mengamalkan kaedah mencuci tangan, pemilihan makanan yang berzat serta
peralatan yang bersih. Selain daripada itu, pelajar juga diberi
penerangan mengenai kaedah memberus gigi yang betul. Para sukarelawan
ini terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah dalam jurusan Diploma
Teknologi Makanan POLISAS.
Dengan adanya program sebegini para
peserta dapat menyelami kehidupan masyarakat disana mengenai cara
kehidupan bermasyarakat. Kehidupan masyarakat yang jauh berbeza
berbanding dengan Negara Malaysia telah memberi keinsafan dan cabaran
kepada peserta untuk memajukan diri serta mensyukuri kebahagian yang
dicapai di Malaysia hasil daripada perjuangan pemimpin dulu dan kini.
Ini membuktikan bahawa kerajaan pemerintah kini mampu melonjakkan
kecemerlangan kepada rakyat dan tanahair menerusi tema 1 Malaysia
(rakyat didahulukan pencapaian diutamakan). Seramai hamper 450 pelajar
di sekolah rendah dan menengah Kg. Croi Menteri serta Cambodia Islamic
College (CIC) telah disumbangkan peralatan alatulis termasuk buku, beg
serta pakaian baru untuk memulakan pembelajaran di tahun baharu 2012.
Kegembiraan jelas terpancar diwajah pelajar-pelajar ini setelah menerima
sumbangan hasil usaha sukarelawan mandapatkan penajaan sebelum bertolak
ke negara yang amat memerlukan sumbangan serta bantuan oleh masyarakat
Malaysia yang penyayang dan penuh budi pekerti.
Hasil daripada program ini telah
mendapat pujian dan penghargaan daripada HE. Timbalan Menteri Hal Ehwal
Agama Kemboja iaitu Dr. Muahsin B. Yusof melalui ucapannya di Majlis
Perasmian Program. Program yang luar biasa ini telah memberi kesan yang
berpanjangan kepada masyarakat sekitar. Beliau juga mengharapkan agar
program seperti ini diteruskan lagi di masa-masa akan datang agar
hubungan baik yang terjalin antara 2 negara semakin akrab.
Pembangunan Modal Insan yang diberi
penekanan oleh Kerajaan dalam menentukan arah tuju pembangunan Negara
melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) bukan hanya dilihat sebagai satu
saranan untuk mendapatkan ilmu pengetuan sebanyak mungkin tetapi apa
yang lebih penting lagi adalah untuk mendidik dan membentuk generasi
mahasiswa kepada pembentukan personaliti unggul ataupun towering personality. Keseluruhan
ciri dan nilai peribadi unggul seperti berjiwa besar, beretika, kasih
sayang, bertolak ansur, bersatu padu, saintifik, dinamik, berinovasi dan
sebagainya merupakan intipati bagi menentukan kecemerlangan Negara ke
tahap yang Terbilang. Semangat kerjasama dan sikap toleransi sukarelawan
jelas terbukti setelah segala perancangan yang rapi berjaya
diadaptasikan dalam program ini.
|