Choon Kiat (tiga dari kiri) menerangkan cara menggunakan teleskop berkeupayaan tinggi kepada sebahagian pelajar yang meminati bidang astronomi di balai cerap  miliknya di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang. Choon Kiat (tiga dari kiri) menerangkan cara menggunakan teleskop berkeupayaan tinggi kepada sebahagian pelajar yang meminati bidang astronomi di balai cerap miliknya di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang.
 
 
Balik Pulau: Pelajar dari Kelab Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sekolah Menengah Tinggi (SMT) Kuen Cheng, Kuala Lumpur berpeluang menyaksikan asteroid di Pulau Betong di sini, awal pagi semalam.

Asteroid berukuran lilit 50 meter itu disaksikan dari balai cerap milik ahli kaji bintang amatur dan pemilik syarikat Perseid Telescopes & Binoculars, Lim Choon Kiat.
Berlaku selepas 15 tahun


Choon Kiat berkata, orang ramai dan pelajar yang menunggu sejak tengah malam dapat menyaksikan asteroid yang bergerak antara matahari dan bulan serta melalui ruang angkasa negara pada jam 3.30 pagi.

Fenomena ini berlaku selepas 15 tahun. Asteroid berada pada jarak 28,000 kilometer dari bumi dan selepas melalui ruang angkasa kita, asteroid akan menjauhi bumi semula dalam peredaran mengikut orbitnya.

Ia bergerak sangat pantas dan semua yang berjaya melihatnya begitu teruja kerana dapat melihat sendiri asteroid, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tak sangka dapat peluang
Sementara itu, pelajar jurusan fizik USM, Emma Zulaiha Zulkilfli, 19, berkata dia tidak menyangka berpeluang menyaksikan asteroid yang melalui ruang angkasa negara.

Selama ini, saya hanya melihat di kaca televisyen dan kini saya berpeluang menyaksikannya sendiri dengan menyertai Kelab Astronomi USM. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan, katanya.