Pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng
diberikan kepada burung berkenaan untuk membantu proses penghadaman
selain menjaga kemerduan suaranya.
BAK kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam. Begitulah perumpamaan bagi mereka yang menggilai seni suara
burung ketitir (merbok) yang subjektif dan abstrak.
Bagi kebanyakan orang, tiada apa yang istimewa dengan seekor burung
sebesar tapak tangan itu, tetapi kepada para penggemarnya, kemerduan
suara burung ini terlalu istimewa.
Mengapa? Meskipun cuaca panas terik, mereka sanggup berdiri menanti
dan mengamati suara burung yang paling merdu di antara ratusan burung
yang lain.
Dengan keindahan adunan warna dan pelbagai reka bentuk sangkar yang
dipamerkan, sudah cukup menarik perhatian mereka yang meminatinya selain
setia menunggu dendangan burung bertuah.
Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir Antarabangsa Kelantan 2008 yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik
2,000
peminatnya sempena perayaan menyambut ulang tahun Hari Keputeraan
Sultan Kelantan ke-58 yang diadakan di Lubok Jong, Rantau Panjang.
Acara yang diadakan setiap tahun itu terus mendapat sambutan
penggemar seni suara burung itu bukan sahaja dari dalam negara, malah
dari Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pengerusi Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Kelantan, Datuk Nik
Ishak Nik Daud memberitahu, pertandingan ini telah dianjurkan sejak
lebih 30 tahun lalu.
|
PARA peminat sanggup berdiri menanti dan mengamati suara burung yang paling merdu meskipun cuaca panas terik.
|
Menurutnya, acara ini biasa dimainkan oleh golongan petani ratusan tahun lampau yang menjadikan aktiviti membela
burung ketitir ini sebagai satu kemestian.
“Aktiviti memelihara
burung ketitir terus kekal sebagai kegemaran tradisi rakyat Kelantan yang diwarisi turun temurun.
“Biasanya inilah hiburan golongan petani zaman dahulu, penat lelah
seharian di bendang dan ladang bagaikan terubat apabila mendengar burung
belaan mereka menari dan menyanyi,” katanya.
Tambahnya, proses membela seekor
burung ketitir
untuk pertandingan bukanlah semudah yang disangka, pelbagai usaha perlu
dilakukan untuk memastikan burung-burung ini mampu mengeluarkan suara
yang merdu dan lunak.
Burung-burung ini perlu dijaga dari segi pemakanan sehinggalah soal ubat-ubatan bagi memastikan keupayaan mereka.
“Suara yang merdu dan lunak ini merupakan anugerah Allah kepada
makhluknya dan kita sebagai tuan punya burung hanya berusaha memberi
burung-burung tersebut latihan dan penjagaan yang sewajarnya,” ujarnya.
Bermula dengan proses makanan, burung ini akan diberi bunga rumput ataupun sekoi selain makan utamanya.
Selain itu, pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng juga
diberi untuk membantu proses penghadaman haiwan berkenaan selain
menjaga kelunakan suaranya.
Burung-burung ini juga diberikan sedikit vitamin ataupun bancuhan air
khas untuk membantu meningkatkan kesihatan mereka. Selain itu, sangkar
juga perlu dibersihkan setiap hari.
Tidak semua burung-burung ini mempunyai suara yang baik. Hanya yang
terpilih dan faktor genetik menentukan keupayaan suara mereka.
|
NIK ISHAK NIK DAUD
|
Kepada yang tidak meminati permainan ini, jangan terkejut kerana ia
boleh dikategorikan sebagai antara hobi mewah. Ini kerana nilai seekor
burung yang baik boleh mencecah ratusan ribu ringgit.
“Pernah seekor
burung ketitir dari Pattani, Thailand dijual pada harga
RM200,000 kepada seorang warga Singapura beberapa tahun lalu.
“Bagi sesetengah orang, ia mungkin tak masuk akal tapi hakikatnya memang telah terbukti sebelum ini dan harga antara
RM15,000 hingga
RM20,000 seekor adalah perkara biasa bagi peminat seni suara burung ini,” jelas Nik Ishak.
Seekor burung yang menyertai pertandingan perlu dipersiapkan dengan
latihan supaya mereka tidak malu mengeluarkan suara yang lunak, merdu
dan galak kerana faktor tersebut termasuk dalam proses pemarkahan.
Menurut Nik Ishak, suara burung ini perlu dilatih dari segi keupayaan
mengeluarkan, mengawal, lenggok, kemerduan, getaran suara selain
membiasakannya dengan suasana pertandingan.
Katanya, seekor burung yang baik mampu mengeluarkan suara yang unik dan merdu untuk tempoh antara tujuh hingga lapan tahun.
“Ada sesetengah burung yang hebat, mempunyai suara yang lunak tetapi
semasa hari pertandingan ia menjadi pasif kerana beberapa faktor.
“Macam juga program Akademi Fantasia (AF), seseorang peserta mungkin
hebat semasa latihan tetapi pada hari pertandingan ia menjadi kaku,
gugup dan takut kerana ramai pesaing,” jelasnya.
Pertandingan kali ini menampilkan juri berpengalaman yang mahir dari
pelbagai negara untuk mengadili empat peringkat proses penghakiman.
Jelas Nik Ishak, suara burung ini dipecahkan kepada empat bahagian iaitu suara depan, tengah, air suara dan suara belakang.
Keupayaan seekor
burung ketitir menguasai
keempat-empat bahagian ini membolehkannya dinobatkan sebagai juara
selain kesepakatan juri dalam menentukan suara terbaik.
Sementara itu, empat kategori seni suara dipertandingkan iaitu suara A
melibatkan burung yang mempunyai suara garau dan kasar, suara B bagi
suara peringkat pertengahan, suara C untuk burung yang memiliki suara
halus manakala kategori baru yang turut dipertandingkan ialah suara
burung muda atau remaja yang berumur tujuh atau lapan bulan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan
dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sambutan yang
ditunjukkan mendorong kerajaan negeri mengambil inisiatif menambah baik
pertandingan ini kerana ia tarikannya yang tersendiri.
“Peminat dan penggiat seni ini pula berkembang tanpa mengira kaum,
budaya mahu pun latar belakang, malah ia berkembang ke negeri-negeri
lain sama ada sebagai hobi, hiburan dan perniagaan.
|
PENAT lelah seharian di bendang terubat apabila mendengar suara burung peliharaan menyanyi.
|
“Pada tahun ini, satu kategori baru iaitu pertandingan
burung murai batu diperkenalkan sementara pertandingan burung tiong bercakap masih dikekalkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan.
Pertandingan itu juga mempertandingkan kemerduan suara
burung tekukur, candik, tiong dan murai batu
Selain pertandingan suara burung, pertandingan seni kecantikan
ayam serama turut memeriahkan suasana.
Zebra Dove @ Ketitir
Burung ketitir sering dilihat mencari makanan di kawasan terbuka.
Ketitir atau merbuk merupakan spesis burung merpati yang berasal dari
Asia Tenggara(Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura,
Indonesia dan Filipina). Burung ini yang dipanggil Zebra Dove (Numenius
Chinensis) menjadi pilihan penggemar burung dan memeliharanya dalam sangkar.
Ia dibela kerana siulan suaranya yang merdu. Ketitir hidup bebas
di dalam belukar, ladang, kebun dan kawasan terbuka di kawasan
tanah rendah. Ia juga biasa dilihat di taman dan kawasan perumahan
di desa atau bandar.
Burung ketitir bersaiz sederhana, badan langsing dengan ekor yang
panjang. Bahagian atas badan keperangan kelabu dengan jalur hitam dan
putih. Bahagian bawah berwarna merah jambu dengan corak hitam di
sisi leher, dada dan perut. Saiznya kira-kira 20 hingga 23cm panjang
dan lebar sayap di antara 24-26cm. Di Thailand dan Kelantan, pertandingan
suara burung ketitir/merbuk diadakan untuk mencari juara suara terbaik
dan merdu.
Burung ketitir memakan rumput kecil, buah dan biji rumpai. Ia juga
menjadikan serangga dan invertebrata kecil sebagai makanan. Tidak
seperti spesis burung merpati yang lain, mereka hidup secara individu
atau berpasangan. Musim pembiakan burung ini secara semulajadi adalah
dari September hingga Jun. Burung jantan akan membuat aksi berjalan
sambil menunduk kepala, ekor diangkat dan dikembangkan sebagai cara
memikat pasangan. Sarang mereka berbentuk mangkuk yang dibina menggunakan
daun dan rumput kering. Ia dibina di atas pokok dan ada sarang yang
dibina di atas tanah. Burung betina akan bertelur satu atau dua biji
telur berwarna putih. Telur tersebut akan dieram oleh pasangan secara
bergilir selama 13 hingga 18 hari. Setelah menetas, anak burung akan
meninggalkan sarang dalam tempoh dua minggu. Ia boleh terbang dengan
baik selepas berusia tiga minggu.