KUALA LUMPUR : Satu kumpulan yang mendakwa mahu mengembalikan semula
tuntutan Filipina ke atas Sabah dipercayai menjadi dalang di sebalik
pencerobohan kira-kira 100 warga asing bersenjata ke Lahad Datu, Sabah,
seorang pegawai Moro dipetik sebagai berkata.
“Laporan belum disahkan dari sumber-sumber kami berkata bahawa
satu kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Kesultanan Sulu
adalah di sebalik kehadiran kumpulan bersenjata yang tidak dibenarkan
itu,” kata satu sumber yang enggan mendedahkan identiti kepada akhbar
Gulf News.
Menurut laporan, kumpulan lelaki bersenjata terbabit yang menaiki
beberapa bot kecil telah mendarat di Lahad Datu, Selasa lalu dan kini
sedang berdepan secara ketenteraan dengan pasukan keselamatan negara.
Laporan mengatakan bahawa kesemua lelaki berkenaan adalah warga Filipina, namun ia belum dapat disahkan secara rasmi.
Sumber berkenaan yang ditanya jika beliau pernah mendengar nama
pasukan tentera seperti itu sebelum ini sebaliknya berkata, matlamat
kumpulan itu adalah untuk menjadikan Sabah sebahagian daripada
Kesultanan Sulu.
Kesultanan berkenaan pernah wujud sebagai sebuah kerajaan yang kuat
dengan pengaruh menjangkau dari Borneo, Selatan Filipina ke bahagian
Visayas. Semasa kemuncak kuasanya dalam tahun-tahun 1700, Kesultanan
berkenaan berkuasa ke atas wilayah kini dikenali sebagai Mindanao dan
timur Malaysia.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila berkata, mereka masih
tidak dapat mengesahkan jika 100 lelaki yang kini di Malaysia memang
rakyat Filipina.
Menurut jurucakap hal ehwal luar, Raul Hernandez, Filipina menjalankan siasatan sendiri dalam kejadian itu.
“Pasukan keselamatan kami dan pegawai pertahanan sedang berhubung dengan
rakan-rakan mereka di Malaysia dalam hal ini,” Hernandez berkata.
Terdahulu, terdapat juga laporan bahawa kumpulan lelaki bersenjata
berkenaan adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berpusat di Sulu.
Kumpulan Abu Sayyaf kini melarikan diri dari operasi yang digerakan oleh
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro dalam wilayah selatan Filipina.
Abu Sayyaf menahan beberapa tebusan termasuk warga Jordan, Baker Atyani
yang merupakan Ketua Biro Asia Tenggara Stesen Televisyen Al Arabiya
yang berpangkalan di Dubai serta dua peminat burung warga Eropah dan dua
orang warga Filipina.
Sementara itu, laporan Bernama dari Papar, Sabah menyebut, Kerajaan
Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi
menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara
di Lahad Datu.
Sambil menegaskan keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah
terkawal, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan
itu penting bagi memastikan kumpulan yang berjumlah antara 80 dan 100
anggota itu “keluar dengan selamat ke Selatan Filipina”, sekali gus
mengelak pertumpahan darah.
“Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di
sini…jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita
minta mereka balik dengan cara yang baik,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar di sini
hari ini.
Najib berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu
berikutan laporan yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi sebagai berkata, pasukan keselamatan menahan sekumpulan
warga asing menyamar sebagai anggota tentera cuba menceroboh perairan
negara di Lahad Datu.
Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
bekerjasama dengan polis mengambil tindakan segera berhubung perkara
itu.
Dalam menghadapi situasi genting itu, Najib, yang dimaklumkan tentang
kejadian itu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam dan
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi ini, berkata: “anggota
polis kini bertindak atau merupakan bulatan pertama mengepung kawasan
tersebut dan bulatan kedua terdiri daripada pasukan anggota tentera.
“Dari segi kekuatan, kuasa tempur kita adalah lebih dari cukup
untuk memberkas mereka, tetapi kerajaan memilih jalan untuk buat
perundingan dengan mereka supaya mereka keluar dengan aman balik ke
Selatan Filipina,” katanya.
Ditanya sama ada pihak berkuasa keselamatan Malaysia sudah mengenal
pasti kumpulan itu, Najib berkata: “Lebih kurang kita sudah kenal pasti
“.
“Tapi biarlah polis melakukan rundingan dengan mereka dan mudah-mudahan
mencapai hasil dan kejayaan. Sebab mereka tak boleh ke mana, mereka
dikepung…mereka tidak ada pilihan dan perlu cari jalan penyelesaian,”
katanya.
Apabila ditanya sama ada kumpulan itu bersenjata atau sebaliknya,
Perdana Menteri berkata perkara itu dalam makluman polis dan “jangan
buat spekulasi”.
“Kita bukan mendedahkan maklumat dalaman…biar polis jalankan kerja
mereka tanpa diganggu mana-mana pihak. Apa yang penting keberhasilan
yang selesai tanpa pertumpahan darah,” katanya.
Mengenai tahap keselamatan dan kawalan di perairan negara terutama
pantai timur Sabah, Najib berkata perairan Malaysia amat luas tetapi apa
yang penting ialah “kita dapat maklumat cepat”.
“Kita mengepung mereka, bila dapat mengepung mereka, mereka tidak boleh
ke mana. Kita mesti sedar lautan kita luas dan kita tidak boleh berada
di setiap masa sentiasa 24 jam,” katanya sambil menambah pihak berkuasa
kerajaan Malaysia sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan
Filipina.– BERNAMA
No comments:
Post a Comment