FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan
berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu
selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian
buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat
Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa)
orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).
Daripada
penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia
menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan
oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir
pada zaman pemerintahannya hingga kini.
Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?
Akhbar Amerika Times edisi
1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan
bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid.
Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan
untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan
sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu
asalnya.
Para
saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam
menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan
sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka
tinggalkan.
Profesor
Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang
paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri
daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil
daripada olahan tanah liat.
Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan
artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir
yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.
Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk
membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak
mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan
kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula
jadi atau batu alam.
Lumpur
tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air
garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran
tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang
disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz
yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah
disediakan di dinding piramid.
Sehubungan
itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang
terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron
terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu
diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop
elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam
semula jadi dengan batu buatan manusia.
Penemuan
oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20
tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid
Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah
liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas
di masa yang lalu.
Tanah liat
Sebelum
ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun
mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di
puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun
melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa
piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."
Bukti-bukti
dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa,
patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih
zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.
Pembongkaran
misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang
telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan
ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.
Hairan
dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus
tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa
Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai
piramid dengan menggunakan tanah liat.
Jika
ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi
khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat
yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang
pertama di permukaan bumi.
Daripada
pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa
Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan
hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan
menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.
Malah
Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju
tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya
hari kemudian.
No comments:
Post a Comment