Tuesday 9 October 2012

Bajet 2013 Jana Ekonomi Negara, Beri Kesejahteraan Kepada Rakyat


Pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 28 September lalu yang bertemakan ''Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' jelas bersifat  inklusif dan mesra rakyat. Bajet yang melibatkan peruntukan RM251.6 bilion meliputi RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan merupakan bajet ketiga di bawah tempoh Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).
Apa yang diharapkan ialah peruntukan perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus itu wajar digunakan secara efisien agar ia benar-benar dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara secara positif.  Dalam konteks ini kerajaan perlu mengawal segala bentuk ketirisan dan pembaziran. Jika tidak ia akan memberi kesan negatif kepada kedudukan ekonomi negara, termasuk pembayaran hutang negara.
Laporan Ekonomi

Berdasarkan Laporan Ekonomi 2012/2013 jumlah hutang kerajaan dijangka meningkat (10.1 peratus) kepada RM504.4 bilion berbanding RM456.1 bilion tahun 2011. Hutang domestik adalah komponen terbesar meliputi 96.5 peratus hutang negara.
Apa pun kita yakin kerajaan berkeupayaan untuk menguruskannya dengan baik. Pada tahun 2012 kerajaan berjaya memastikan defisit berada di bawah lima peratus, iaitu 4.7 peratus kerana peningkatan hasil sebanyak RM21 bilion.  Untuk tahun 2013 kerajaan akan memastikan defisit pada 4.0 peratus. Kita yakin ini mampu dicapai kerana hasil kerajaan pada 2013 dijangka sebanyak RM208.6 bilion berbanding RM207 bilion pada 2012.
Fokus Bajet
Lima fokus utama Bajet 2013 dilihat mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara pada kadar sederhana 4.5 hingga 5.5 peratus. Kelima-lima fokus terbabit ialah: merangsang aktiviti pelaburan; memperkasa pendidikan dan latihan; membudaya inovasi, meningkat produktiviti; konsolidasi fisikal dan mempercekap perkhidmatan awam; dan, mensejahterakan rakyat.
Kesemua fokus terbabit boleh dianggap sebagai kandungan dan haluan penting bagi pembangunan menyeluruh ekonomi. Beberapa langkah strategik yang digariskan kerajaan untuk membangun ekonomi negara mempunyai impak yang tinggi ke arah mencapai pertumbuhan sederhana.
Rancangan kerajaan untuk mengembangkan lagi pasaran bon dan sukuk dengan tambahan modal dana jamin RM400 juta akan melonjakkan lagi pasaran modal negara. Ini termasuk terbitan Agrosukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian akan menjadi platform kepada pembangunan sektor pertanian dan sekali gus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara.

Dana Strategik Pelaburan Domestik RM1bilion, Dana Industri Halal RM200 juta bagi tujuan membangun industri halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport serta Dana Pembiayaan PKS Bumiputera (RM 1 bilion) dilihat mampu untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Peruntukan RM3 bilion untuk projek permulaan (EPP) di bawah 12 bidang  Ekonomi Utama Negara (NKEA) pada 2013 akan turut merangsang pertumbuhan ekonomi. Pelbagai peruntukan bagi industri pembinaan melalui pelbagai projek baharu akan memberi peluang yang lebih luas kepada kontraktor mengambil bahagian dalam menjayakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) ini.
Peruntukan yang besar untuk melonjak pelbagai latihan kemahiran akan melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif untuk dibekalkan dalam pasaran kerja, terutama dalam industri berteknologi tinggi.
BAJET MESRA RAKYAT
Selain memastikan pertumbuhan yang positif, bajet kali ini turut memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Pelbagai pemberian dan insentif diberikan kerajaan untuk golongan terbabit menunjukkan kerajaan komited untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
BRIM 2.0, baucar buku, dan bantuan sekolah
Pastinya pemberian ‘one off ‘ kepada isi rumah berpendapatan rendah,  belia, dan pesara tentera melegakan mereka. Ini termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia Kedua (BR1M 2.0) RM500 untuk isi rumah berpendapatan bawah RM3,000. Malah, BR1M kali ini diperluaskan lagi kepada individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan bawah RM2,000 akan menerima bantuan sebanyak RM250.
Pemberian baucar buku  kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan Tingkatan Enam diteruskan, malah nilainya ditambah daripada RM200 (2012) kepada RM250. Kerajaan juga meneruskan pemberian bantuan persekolahan RM100 untuk setiap murid tahun 1 hingga Tingkatan Lima.
Diskaun untuk peminjam PTPTN
Bagi mereka yang berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) pula akan menerima 20 peratus diskaun sekiranya penyelesaian pinjaman dibuat sekali gus. Manakala 10 peratus diskaun akan diberikan kepada mereka yang membayar balik pinjaman secara konsisten.
‘Generasi Y’
‘Generasi Y’ berusia 21 hingga 30 tahun pastinya gembira dengan bajet yang memahami keperluan dan kehendak mereka. Golongan yang tidak boleh dipisahkan dari dunia teknologi maklumat (IT) ini akan menerima  rebat ‘one off ‘ sehingga RM200 bagi pembelian satu unit telefon pintar 3G. Kerajaan juga memperuntukkan RM150 juta bagi penubuhan 100 pusat internet di kawasan perumahan rakyat. Ini akan memberi ruang kepada semua lapisan rakyat, terutamanya generasi muda untuk mendapat maklumat tanpa sempadan.
Petani dan nelayan
Petani dan nelayan adalah golongan penting dalam memastikan kelestarian bekalan makanan. Justeru,  kerajaan memperuntukkan subsidi dan insentif padi RM2.4 bilion merangkumi subsidi harga padi, baja padi dan benih padi. Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk skim perlindungan Takaful padi dengan perlindungan RM13,000 bagi melindungi pengurusan sawah bawah 10 hektar.
Bagi para nelayan pula, sebanyak RM320 juta disediakan untuk pemberian insentif. Golongan ini menerima sara hidup RM200 sebulan selain insentif hasil tangkapan. Bagi menggalakkan usahawan tani, kerajaan memperuntukkan RM41 juta untuk program Azam Tani.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan perlindungan had maksimum sehingga RM5,000. Skim ini membabitkan peruntukan sebanyak RM16 juta setahun.
Warga tua, OKU dan kanak-kanak
Bagi membantu golongan warga tua, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak kerajaan memperuntukkan RM 1.2 bilion untuk golongan terbabit. Buat pertama kalinya, dalam bajet kali ini kerajaan mengumumkan projek Perintis Taska OKU yang  dapat membantu golongan terbabit maju seiring dengan masyarakat lain serta menempah kejayaan di negara ini.
Projek perintis itu adalah untuk  enam kategori OKU, iaitu down syndrome, autisme, buta, pekak dan bisu, masalah fizikal dan masalah pembelajaran. Kerajaan juga akan menubuhkan enam lagi pusat Anjung Singgah sebagai tambahan kepada dua yang sedia ada untuk memberi peluang kepada golongan gelandangan membina kehidupan yang lebih sempurna.
Manfaat untuk rakyat di Sabah dan Sarawak
Rakyat di Sabah dan Sarawak juga tidak dilupakan. Rakyat di Labuan, Sabah dan Sarawak akan menikmati diskaun tambang feri sebanyak 50 peratus ke atas tambang penumpang feri, manakala diskaun 50 peratus ke atas tambang feri bagi kenderaan mengangkut barang.

Selain itu, program penyeragaman harga barangan akan dibuat melalui subsidi pengangkutan yang ditanggung kerajaan. Rakyat di  kedua-dua negeri itu akan menikmati harga barang yang sama seperti rakyat di Semenanjung.
Kerajaan juga akan membekalkan 40,000 tangki air di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Rancangan kerajaan untuk membuka 57 buah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia juga akan dapat mengurangkan bebanan hidup rakyat di Sabah dan Sarawak.
Kenang jasa kakitangan awam dan pesara
Pastinya 1.4 juta kakitangan awam berasa lega dan bersyukur dengan pemberian bonus satu setengah bulan gaji. Setengah bulan bonus sudah pun dibayar sempena sambutan Aidilfitri lalu. Pesara kerajaan juga turut mendapat bonus sebanyak RM500.
Selain itu, pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menikmati kenaikan kadar pencen minimum daripada RM720 kepada RM820. Penyelarasan pencen itu bermula pada 1 Jan 2012 melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun.
Bagi pesara tentera yang tidak berpencen yang menamatkan perkhidmatan kurang 21 tahun akan menerima bantuan ‘one off ‘ RM1,000. Bagi anggota pasukan keselamatan yang sedang berkhidmat pula akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan.
Kerajaan turut menyediakan RM15,000 skim perlindungan insurans berkelompok untuk  anggota polis dan tentera. Apa yang penting ialah kakitangan kerajaan perlu terus melonjakkan prestasi dan produktiviti mereka terutama untuk menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Warga emas
Warga emas adalah di antara golongan yang turut mendapat manfaat daripada bajet kali ini. Golongan ini akan menikmati pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun yang akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.
Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80. Pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Atasi isu perumahan rakyat
Untuk mengatasi isu perumahan rakyat maka bajet kali ini memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah berharga RM30,000 hingga RM400,000. Tanggungjawab ini diberikan kepada PR1MA (RM1bilon), Syarikat Perumahan Negara Berhad (RM320 juta) dan Jabatan Perumahan Negara(RM543 juta). Felda juga akan turut membina 20,000 rumah dalam tempoh lima tahun untuk generasi baharu Felda.
Selain itu, had pendapatan Skim Rumah Pertamaku ditetapkan RM10,000 untuk suami isteri dan RM5,000 untuk individu dengan nilai hartanah tidak lebih RM400,00.Kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta untuk rumah terbengkalai melibatkan 30 projek perumahan terbengkalai. Inisiatif cukai akan diberikan kepada kontraktor penyelamat.
Pengurangan subsidi gula, stabilkan harga minyak masak
Bajet 2013 kali ini turut mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilo berkuat kuasa pada 29 September 2012, manakala bagi memastikan harga minyak masak stabil di pasaran kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion. Ia juga bertujuan menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat ketika ini.
Langkah pengurangan subsidi gula turut disokong oleh persatuan pengguna dan pengamal kesihatan. Ia mempunyai rasional, iaitu mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetis ketika ini. Justeru, rakyat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam mengurangkan kadar penyakit kencing manis dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan  mereka.
Walaupun subsidi gula dikurangkan tetapi kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta setahun. Rakyat sebagai pengguna perlu membantu kerajaan dalam memantau harga makanan ekoran pengurangan subsidi tersebut dengan melaporkannya kepada kementerian terbabit.
Kesihatan
Untuk meningkatkan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada rakyat kerajaan akan membuka 70 lagi Klinik 1Malaysia serta menaik taraf 350 klinik kesihatan di seluruh negara. Kerajaan turut memberi pemeriksaan percuma monogram untuk 100,000 wanita bagi mengesan kanser payu dara. Seramai 1.4 juta ahli Perkeso akan diberikan pemeriksaan kesihatan percuma membabitkan perbelanjaan RM200 juta.
Merapatkan jurang bandar dan luar bandar
Bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar kerajaan memperuntukkan RM4.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar termasuk membangunkan masyarakat Orang Asli.
Pembangunan luar bandar ini membabitkan rancangan membina jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa serta projek infrastruktur utiliti luar bandar. Bagi Program Desa pula ia merangkumi usaha menaik taraf kilang pemporesesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran dan menambah baik pakej aktiviti homestay.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan  RM200 juta untuk pelaksanaan Program Transformasi Bandar (UTP) dan Program Transformasi Luar bandar (RTP). Untuk tujuan penyelarasan strategik bagi kedua-dua program terbabit maka kerajaan akan menubuhkan Unit Koordinasi Strategik Nasional di bawah Kementerian Kewangan.
Karyawan Kreatif dan wanita
Golongan karyawan dan wanita merupakan golongan penting dalam menyumbang dan menjayakan pembangunan negara. Buat pertama kalinya, bajet 2013 memperuntukkan RM6 juta kepada golongan karyawan  sebagai bantuan pentadbiran dan aktiviti  kepada semua persatuan yang berdaftar. Walaupun pun peruntukan ini tidaklah begitu besar bagi menampung semua persatuan karyawan yang ada tetapi ia merupakan permulaan yang baik bagio melonjakkan industri kreatif di negara ini.
Untuk golongan wanita, peruntukan untuk melatih 500 wanita di bawah program melatih mereka sebagai lembaga pengarah syarikat sudah cukup untuk menggambarkan komitmen kerajaan meningkatkan sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor korporat.
Pelbagai manfaat lain
Langkah-langkah lain yang dibuat  kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat termasuklah memberikan diskaun 50 peratus kepada  pengguna komuter KTMB yang berpendapatan bawah RM3,000 dan pengurangan kadar cukai satu mata peratus, iaitu daripada tujuh peratus kepada enam peratus bagi individu pendapatan bercukai antara RM20,001 hingga RM50,000.
Langkah pengurangan cukai itu akan memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada kerana mereka dapat mengurangkan bayaran cukai selain 170,000 tidak perlu membayar cukai lagi.
Sebelum membuat kesimpulan, penulis ingin mengulas sedikit pemberian ‘one off’ kepada rakyat.  Memang tidak dinafikan pemberian tunai itu baik dan bermanfaat untuk rakyat. Pemberian ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan golongan berpendapatan rendah turut menikmati hasil kekayaan negara.

Namun, kerajaan perlu menyediakan strategi berkesan untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk pekerja makan gaji sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta. Ini penting supaya rakyat mempunyai kuasa beli yang mantap, dapat melakukan mobilasi sosial serta dapat menabung dengan lebih banyak untuk masa depan dan hari tua mereka.
Strategi meningkatkan pendapatan rakyat ini penting kerana di dalam pasaran ekonomi yang semakin liberal, golongan kapitalis (pemodal)  mempunyai ruang yang lebih luas untuk menguasai dan menikmati kekayaan negara menyebabkan terjadinya jurang pendapatan yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin. Pengalaman di beberapa negara harus dijadikan iktibar.
Di India, walaupun negara itu melaksanakan reformasi ekonomi secara drastik sejak 1970 tetapi ia tidak membawa makna kepada majoriti rakyatnya yang masih dibelenggu kemiskinan. Amerika Syarikat, walaupun negara itu adalah negara ulung dalam kategori negara maju berpendapatan tinggi tetapi satu per enam (47 juta) daripada jumlah populasinya sukar untuk membayar rawatan kesihatan yang asas.
Justeru, sekiranya negara tidak mempunyai strategi berkesan untuk meningkatkan pendapatan rakyat maka kita bimbang perkara yang sama akan dihadapi negara  menjelang 2020 nanti.
Kesimpulan, Bajet 2013 adalah bajet realistik dan  memberi kebajikan kepada semua lapisan masyarakat. Ia boleh dianggap bajet dari rakyat kepada rakyat.
Pemberian dan insentif terbabit bukanlah satu langkah populis tetapi ia merupakan pengagihan kekayaan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Malah, seperti diungkapkan Najib ia boleh dianggap sebagai manifesto sebuah kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah.
______________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

No comments:

Post a Comment