PENGURUS
pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menyifatkan khabar angin mengenai
tawaran RM3 juta buat penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che
Mat bagi menebus kontraknya bersama skuad itu adalah tidak berasas dan
“mengarut.”
Beliau yang juga
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menegaskan,
kesemua pemain masih mempunyai kontrak beraksi dengan The Red Warriors
setakat ini.
“Kesemua pemain masih mempunyai ikatan dengan Kelantan, begitu juga dengan Apex (Khairul Fahmi).
“Jadi,
saya tidak tahu bagaimana cerita ini timbul dan saya enggan
memikirkannya,” kata Azman ketika dihubungi Sinar Harian Online hari
ini.
Hari ini, sebuah akhbar tempatan
melaporkan penjaga gawang Kelantan itu kini menjadi sebutan apabila
dikatakan mendapat tawaran RM3 juta oleh pasukan lain dan bayaran
RM800,000 bagi menebus kontraknya dengan skuad The Red Warriors yang
masih berbaki tiga tahun lagi.
Azman menambah: “Semua khabar angin ini murahan semata-mata, ini hanya tawaran atas angin sahaja.”
“Mereka hanya berani war-warkan dalam media massa, tapi tidak berani membuat sebarang hitam putih,” jelas beliau lagi.
Dalam
pada itu, ketika ditanya adakah khabar angin ini satu agenda sesetengah
orang yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan moral pemain, Azman
bagaimanapun mengakui dan beliau menegaskan bahawa tidak berminat untuk
melayan perkara yang tidak berasas tersebut.
“Ya,
ia memang agenda untuk mengganggu tumpuan pemain kita yang akan beraksi
dalam final Piala Malaysia Sabtu ini. Saya betul-betul tidak faham
mengapa mereka buat perkara sebegini.
“Apa-apa
pun, saya tidak mahu memikirkan perkara yang mengarut ini dan tumpuan
kami hanya terarah kepada final Piala Malaysia nanti,” katanya lagi.
Dalam aksi final Piala Malaysia 2012, Kelantan akan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini
No comments:
Post a Comment