Sunday, 14 October 2012

Sukan 2012:Kelantan Hampiri Misi Treble

Norsharul Idlan dihalang oleh pemain Selangor,  Bunyamin Umar pada pertemuan pada malam tadi.
KELANTAN mengesahkan laluan ke pentas final Piala Malaysia Edisi ke-86 selepas menewaskan Selangor 2-0 sekali gus mara dengan agregat 3-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dua jaringan gol pada separuh masa kedua oleh Mohamad Ghaddar minit ke-84 dan Mohd Badri Radzi pada minit ke-93 sudah cukup memastikan malam derita Selangor yang berhasrat merealisasikan Misi 33 mereka.
Bermula wisel babak pertama, Selangor terus melancarkan gerakan melalui hantaran jauh dan memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti Kelantan apabila Subramaniam menjatuhkan Bosko Balaban.
Namun sepakan percuma diambil Safiq Rahim sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Kelantan yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan serangan dilancarkan tuan rumah, Kelantan menyusun strategi memantapkan bahagian tengah dan hadapan serta hampir memperoleh gol pendahuluan apabila tandukan penyerang sensasi Kelantan, Mohamed Ghadar ditepis penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-12.
Menyedari tekanan dari Selangor semakin berkurangan memasuki 15 minit seterusnya, Kelantan memperkemaskan serangan melalui rangkaian penyerang Norfarhan, Norshahrul Idlan dan Mohamad Ghaddar.
Pintu gol Selangor sekali lagi hampir bolos minit ke 16 apabila Norfarhan yang dikenali ‘Ben 10’ dalam kalangan peminat Kelantan melakukan rembatan namun berjaya ditepis sekali lagi Norazlan.
Gawang pelawat cemas seketika pada minit ke-22 apabila rembatan Safiq di luar kotak penalti gagal ditangkap kemas Khairul Fahmi namun tindakan pantas penjaga gol kebangsaan itu menggagalkan usaha K Solihin yang cuba menolak bola muntah tadi namun Solihin berada dalam keadaan offside.
Ghaddar berpeluang meletakkan pasukannya di hadapan namun tolakannya mudah ditepis Norazlan yang bertindak cemerlang menggagalkan hasrat kira-kira 35,00 penyokong setia The Red Warriors.
Peluang berbahaya tuan rumah terhasil pada minit ke-43 apabila Bosko melakukan sepakan dari luar kotak penalti namun Khairul Fahmi telah bersedia dan menepis sepakan berkenaan.
Berbaki satu minit masa tambahan separuh masa pertama, peluang terhidang di depan gawang Selangor gagal dimanfaatkan Indra Putra yang mendapat tolakan cantik dari Norfarhan namun sepakan Indra ketika hanya berdepan dengan Norazlan melambung tinggi.
Babak kedua bermula, Selangor dilihat agresif apabila sepakan dari luar kotak penalti oleh Bosko berjaya ditepis Khairul Fahmi sebelum Mohamed Ghadar membalas serangan pada minit ke-51 yang berjaya diselamatkan Norazlan.
Mat Yo turut berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun sepakan leretnya minit 57 selepas mendapat lorongan bola dari Norfarhan sekali lagi benteng terakhir Selangor menjadi penghalang.
Akhirnya gol Kelantan berhasil pada minit 84 apabila larian pantas dan kelicikan Mohamed Ghaddar yang berjaya mengelecek tiga pertahanan lawan sebelum melakukan penyudahan tahap bintang dengan kuisan berjaya memperdayakan Norazlan buat kali pertama.
Malam derita buat Selangor terus berpanjangan apabila Bosko dilayangkan kad merah selepas mengasari Obinna Nwaneri pada minit ke-87.
Mendahului satu gol tidak membuatkan anak didik Bojan Hodak berpuas hati malah melancarkan serangan dan berjaya mendapatkan sepakan percuma di luar kawasan penalti sebelah kanan gawang tuan rumah.
Badri yang sememangnya pakar dalam sepakan percuma akhirnya melenyapkan impian Gergasi Merah Kuning untuk menggapai Misi 33 selepas sepakannya menerjah jaring di sebelah bucu kanan gol Selangor yang gagal diselamatkan Norazlan buat kali kedua.

No comments:

Post a Comment